Monday, June 23, 2025

Sepagi Di Suatu Masa

Bening. Begitulah suasana di luar. Kerdipan bintang masih jelas boleh dilihat di ufuk langit. Aku masih mamai dikejut mak. Meraba-raba mencari tuala di dalam kebingungan. Jam Orient berona putih berbingkai coklat berira kayu di dinding memberi bacaan 4:30.

Mak sudah di dapur dari tadi. Air yang dijerang dengan cerek elektrik sudah mendidih. Mak membawa cerek panas dan menuangkan air panas yang mendidih ke dalam besen merah yang telah tersedia dengan air paip yang dingin di dalam bilik air. Berkepul-kepul wap air memenuhi ruang bilik air. Kepul-kepul wap itu sekali sekala melitupi mentol kuning yang menerangi bilik air.

"Mandi cepat. Nanti tertinggal.", ucap mak.

Gayung plastik mengaut air suam yang kemudiannya disiram dari kepala. Mandi air suam di subuh dini adalah rutin setiap hari bersekolah. Kalau di Tahun 1, siraman ini akan disusuli dengan tangisan. Pertama disebabkan terasa air terlalu panas atau terlalu sejuk. Mengada-ngada. Kedua adalah disebabkan libasan tali pinggang sebab tak berhenti menangis.

Mak lazimnya dah gosokkan baju dan seluar sekolah pada hari Sabtu atau Ahad. Kalau rajin, mak gosok dengan kanji. Mak pastikan side lengan baju tajam. Begitu juga pleat seluar. Pantang mak kalau pleat atau lengan baju bergaris dua. Saputangan juga siap digosok. Saputangan memang wajib. Kalau di Tahun 1 dan berseluar pendek, mak akan tarik baju dari dalam bawah seluar supaya baju cekang. Kemudian, baru dikemaskan dengan tarikan baju ke kiri atau ke kanan di pangkal atas seluar.

Sebelum pakai baju, bedak Cuticura dah ditempek-tempekkan di muka dan di badan aku. Dah besar sikit, ada cologne Avon. Cap kepala lembu. Wangi sangat dah pada masa tu. Di Tahun 6, aku salinkan cologne tu dalam botol ubat yang kecil. Bawak ke sekolah. Selang loceng tukar kelas aku lumur minyak wangi tu. 

Mak sikat rambut belah tepi kiri. Ada sebabnya. Sebelum sisir, minyak rambut Brylcreem disapu dulu. Code 10 mahal. Pernah juga sekali dulu abah beli Brylcreem cecair dalam botol bila aku di sekolah menengah dulu.

Beg berkotak kuning dah tersedia dengan buku-buku teks dan buku latihan. Sayangnya aku dah buang semua khazanah-khazanah termasuk beg ni. Banyak kenangannya. Berlari-lari anak dari sekolah balik ke rumah dengan tercungap-cungap di antara keletihan dan nak menangis ditinggal van sekolah sambil menggalas beg kuning ini. Isinya turut sama bergoncang, seirama dengan larian anak dan cungapan/bunyi nak memangis.

5:10 pagi.

Mak gesa gegas ke birai jalan utama. Mujur tidak jauh dari rumah. Di tadika, aku ke sekolah dengan seorang jiran India yang memandu Volkwagon pada masa itu. Tapi di tahun seterusnya aku terpaksa naik Van Sekolah Pak Cik Darus. 'Klien'nya ramai dan dari pelbagai tempat. Jadi kawasan aku, Kg. Pasir adalah hentian pertama; jam 5:30 pagi; sebelum van itu mengutip penumpang di dalam kawasan Pusat Tahanan Perlindungan Kamunting dan kawasan-kawasan lain. Ada masanya van ini tiba awal dan jika tidak berada di lokasi, kami akan ditinggalkan. Biasanya, aku akan tiba di sekolah paling lewat jam 6:30 pagi. Kebanyakan masa, saya dan rakan-rakan dari van adalah orang yang pertama membuka pagar sekolah. Kami ada masa menyapu sampah, membersihkan papan hitam, membuang sampah, bahkan membersihkan tingkap seperti di Jadual Bertugas. Usai urusan di kelas, kami akan tunggu Cikgu Shamsiah dengan Mazda 323nya sampai untuk kami angkat buku dan beg dari kereta beliau ke bilik rehat guru.

Terima kasih mak.

Terima kasih abah.

Terima kasih uncle dan pakcik-pakcik.

Terima kasih cikgu-cikgu.

#kamunting #taiping #perak


 




No comments:

Post a Comment

Sepagi Di Suatu Masa

Bening. Begitulah suasana di luar. Kerdipan bintang masih jelas boleh dilihat di ufuk langit. Aku masih mamai dikejut mak. Meraba-raba menca...